Kumpulan Malakat buka pasar raya ke-8 dalam masa kurang setahun

0
3045
Pengasas Malakat Grocer, Mohd. Fadzil Hashim ketika merasmikan cawangan kedua pasar raya itu yang beroperasi di Taman Putra Perdana, Puchong, Ogos tahun lalu. Gambar – FARID JANUDIN

CYBERJAYA – Selepas pembukaan enam cawangan Malakat Grocer dalam masa kurang setahun, Kumpulan Malakat terus melebarkan sayap perniagaan melalui pembukaan dua lagi rangkaian pasar raya komunitinya.

Pembukaan Malakat Grocer di Alam Damai, Cheras dan Gombak pada Sabtu ini merupakan cawangan ketujuh dan kelapan selepas cawangan utamanya di Cyberjaya, Masjid Tanah, Melaka; Taman Putra Perdana, Puchong; Taman Kosas; Pandan Mewah dan terbaharu Kota Warisan.

Pengasas Malakat Mall dan Malakat Grocer, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pembukaan pasar raya itu merupakan projek strategik dan berimpak tinggi yang bertujuan menyatukan kuasa ekonomi umat Islam di negara ini secara berpusat.

“Fokus utama kita adalah untuk menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan bumiputera khususnya usahawan muslim memasarkan produk mereka dalam komuniti setempat.

“Sama seperti perjuangan kita di Malakat Mall, Malakat Grocer ini juga memberi peluang kepada orang ramai untuk berbelanja dan menjadi ‘pemilik’ pasaraya ini,” katanya.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, pemilikan bersama pasaraya komuniti itu boleh dilakukan melalui pembelian saham Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

Sempena pembukaan itu pihaknya turut menawarkan peluang pemilikan lot tanah percuma di Muslim Village, Serendah.

Katanya, tawaran itu boleh direbut dengan memindahkan perbelanjaan runcit sebanyak RM300 sebulan selama lima tahun melalui penyertaan sebagai ahli dan pembelian saham Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

“Kami mengalu-alukan orang ramai khususnya penduduk di kawasan sekitar untuk bersama-sama berjuang melalui pemilikan saham KoPPIM, berbelanja dan menikmati agihan keuntungannya.

“Nantikan pengumumannya. Ada banyak tawaran menarik sempena pembukaan pada Sabtu ini,” katanya.

Malakat Grocer menawarkan orang ramai menjadi sebahagian daripada pemilik pasar raya itu melalui pembelian saham KoPPIM.

Selain menawarkan pelbagai barangan keperluan harian, pasar raya yang beroperasi setiap hari bermula dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam itu turut menawarkan dua kiosk makanan popular dari Malakat Mall iaitu Tea Amo dan Bunch-Oh. -MT

Antara minuman yang terdapat di Tea Amo, Malakat Hrocer.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here