Mahu tunjuk pistol tertembak rakan sendiri

0
99
Gambar hiasan.

KUALA KURAU – Gara-gara mahu ‘show off’ pistol yang dimiliki, seorang pengawal peribadi dilaporkan tertembak rakan sendiri dalam satu kejadian di Jalan Swee Lee, di sini.

Ketika kejadian, suspek yang berusia 33 tahun itu sedang minum bersama mangsa berusia 23 tahun dan dua orang lagi rakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, ketiga-tiga mereka bertemu untuk upacara sembahyang kematian seorang rakan mereka.

Menurut Anuar, kejadian berlaku apabila lelaki berkenaan mengeluarkan pistol CZ 75 miliknya jenis dengan niat hendak menunjuk-nunjuk kepada mereka.

“Awalnya lelaki itu telah mengeluarkan kelopak pistol terbabit tanpa menyedari masih terdapat sebutir peluru di dalam chamber.

“Dia kemudiannya menarik picu pistol menyebabkannya meletup dan terkena mangsa yang berdiri di hadapannya pada jarak lebih kurang satu meter.

“Mangsa yang berdarah akibat luka di bahagian kiri perut telah menerima rawatan awal di Hospital Parit Buntar dan dilaporkan stabil,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau berkata, polis mendapat maklumat kejadian itu selepas dimaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital terbabit akibat terkena tembakan.

Menurutnya, bagi menyembunyikan kes terbabit, pengawal peribadi itu telah melepaskan satu tembakan ke dalam beg sandang miliknya dengan niat hendak mereka cerita kononnya pistol tersebut meletup dengan sendirinya dalam beg.

“Polis telah merampas senjata iaitu sepucuk pistol bersama kelopak berisi lapan peluru jenis 9mm, sarung pistol dan sebutir kelonsong tertera tulisan 9mm daripada lelaki terbabit.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here