Malakat Mall beroperasi 24 jam Ramadan ini

0
717

CYBERJAYA – Pusat beli-belah Malakat Mall yang terletak di Lingkaran Cyber Point Timur, di sini akan beroperasi selama 24 jam sehari sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Pengasasnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, Malakat Mall akan menjadi mall pertama di negara ini yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu.

Beliau berkata, permulaan operasi tanpa henti itu bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai untuk berbelanja dengan lebih selesa sepanjang bulan puasa.

“Seperti kita tahu setiap kali bulan puasa, umat Islam akan sibuk menguruskan masa untuk kerja, keluarga dan beribadat sehinggakan ada yang tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang beribadat yang ada.

“Jadi kita di Malakat Mall sediakan masa yang cukup kepada pelanggan untuk membeli belah pada bila-bila masa sahaja,” katanya ketika ditemui selepas Media Review Buffet Ramadan di Casa De Madani malam tadi.

Mohd Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, selain pembukaan selama 24 jam, pihaknya juga menyediakan ruang solat berkeluarga kepada pengunjung untuk beribadat dengan lebih selesa.

” Bagi yang pengunjung yang datang lewat tengah malam atau awal pagi, mereka boleh menggunakan ruang ibadat yang disediakan untuk menunaikan solat sunat tahajud, tarawih dan sebagainya,” katanya.

Coach Fadzil berkata, idea untuk menjadikan Malakat Mall sebagai pusat beli belah yang beroperasi 24 jam sehari sebenarnya sudah lama cuba dilaksanakan namun beliau memilih tarikh awal Ramadan tahun ini sebagai permulaan.

Katanya, impiannya adalah untuk menjadikan pusat beli belah itu seperti Mustafa Centre di JalanSyed Alwi, Singapura yang menjadi tarikan utama pelancong.

“Kedudukan kita yang terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), sesuai untuk dijadikan pilihan tempat transit sebelum atau selepas penerbangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pelbagai peluang perniagaan ditawarkan kepada usahawan sepanjang bulan Ramadan kali ini.

“Bagi memeriahkan ketibaan bulan yang mulia ini, kami menyediakan ruang-ruang perniagaan tanpa sewa kepada peniaga seperti sebelum-sebelum ini.

“Untuk tahun ini kami akan memeriahkan ruang niaga atau ‘bazar’ kami dengan pelbagai jenis produk yang akan dibahagikan mengikut kategori,” katanya.

Orang ramai membeli barangan keperluan di Malakat Grocer, Malakat Mall.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here