Malakat Mall diwujudkan tanpa satu sen pun pinjaman bank – Coach Fadzil

0
5720
Malakat Mall Masjid Tanah

CYBERJAYA – Pusat beli belah, Malakat Mall pertama yang diwujudkan di sini langsung tidak menggunakan walaupun satu sen wang pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

Menurut Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim, beliau hanya menggunakan wangnya sendiri untuk membangunkan Malakat Mall daripada kosong sehinggalah seperti yang dapat dilihat sekarang.

“Saya sebagai individu memang tiada duit tapi syarikat saya ada duit, jadi saya ambil duit dalam bisnes saya dan saya belanja RM20 juta tanpa pinjaman bank.

“Jadi sewaktu Malakat Mall sedang dirancang memang syarikat ini milik saya dan isteri saya,” katanya dalam sesi Live Facebook hari ini.

Coach Fadzil

Mohd Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata demikian sebagai menjawab tuduhan sesetengah pihak yang mempertikaikan pemilikan Malakat Mall kerana tidak tersenarai nama Koperasi Pembangunan Pengguna Islam (KoPPIM) sebaliknya hanya terdapat nama beliau dan isterinya, Efizah Mohtar Rasali sebagai pengarah syarikat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ketiadaan nama KoPPIM sebagai pemilik syarikat itu, Coach Fadzil berkata, koperasi tersebut bukan rakan kongsi perniagaan Malakat Mall sebaliknya hanya menjadi rakan pelabur strategik.

“Ini kerana saya tak nak koperasi ambil risiko kerugian walaupun secara syaraknya dia kena ambil risiko itu jadi saya kata kat KoPPIM saya akan bagi hak royalti Malakat Mall kepada koperasi, caj dia ialah setiap jualan sebanyak dua peratus yang masuk dalam Malakat Mall dan pelaburan tertentu akan terus diberikan kepada koperasi,” jelasnya.

Mengimbas kerjasama antara beliau dan KoPPIM, katanya, ia bermula pada tahun 2019 selepas pihaknya berhasrat membuka sebuah pasar bagi menghimpunkan produk Muslim dan seterusnya bersaing dengan bangsa lain.

Katanya, ketika itu beliau dipertemukan dengan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan atau lebih dikenali sebagai Toqqi.

Toqqi

“Pada bulan Ogos saya lancarkan idea Malakat Mall, bulan September saya jumpa Toqqi, bila beliau dengar perancangan saya terus dia kata ambillah KoPPIM sebab katanya beliau sudah buat tapi tiada siapa yang boleh jalankan.

“Jadi saya kata bagus juga sebab kita pun nak buat perjuangan tanpa riba dan sebagainya, saya pun ada Koperasi Brainy Bunch tapi tak pernah dirasmikan jadi kita pun setuju. Masa itu saya tak tahu undang-undang koperasi sangat dan Toqqi pun lantik saya jadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sedangkan beliau pun tak tahu sangat undang-undang koperasi.

“Sebenarnya koperasi itu tidak ditubuhkan secara sempurna, padahal waktu itu kita sudah buat perasmian dan sebagainya dan pada waktu itu juga saya dah mulakan keluar duit saya sendiri untuk bina Malakat Mall.

“Apabila koperasi mendapat dana, ahli lembaga koperasi yang baharu ketika itu memberikan idea supaya koperasi melabur di sektor strategik, sektor strategik yang pertama ialah Malakat Mall sebab ‘game plan’ kita ialah untuk wujudkan pasar dahulu. Ini disebabkan 92 peratus pasar dikuasai oleh bukan Islam dan kita hendak tingkatkan kepada 38 hingga 40 peratus dengan ambil alih share syarikat asing. Itulah ideanya,” ujarnya.

Menurut Coach Fadzil, perancangan seterusnya ialah untuk menembusi sektor pemborong yang mana hampir 98 peratus dikuasai oleh bukan Islam termasuk syarikat asing.

Namun begitu, katanya, sebagai permulaan Kumpulan Malakat cuba untuk mewujudkan pasar bagi memberi peluang peniaga Muslim berniaga sebelum beralih ke sektor seterusnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here