Malakat Mall tumpu perluasan cawangan di Melaka

0
99
Mohd. Fadzil Hashim berucap pada perasmian Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

MASJID TANAH – Kumpulan Malakat akan menumpukan perluasan cawangan perniagaan  melalui pembukaan rangkaian pusat beli-belah dan pasar raya di Melaka.

Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, rancangan perniagaan strategik itu diputuskan berdasarkan sambutan baik yang diterima oleh Malakat Mall Masjid Tanah yang beroperasi kira-kira sebulan lalu.

Beliau berkata, Malakat Mall kini sedang dalam pertimbangan untuk membuka cawangan di beberapa daerah di negeri itu antaranya di Jasin dan Melaka Tengah.

“Memandangkan sambutan yang cukup baik diterima di cawangan kedua kita di Masjid Tanah, kita ambil keputusan untuk tumpu kepada Melaka dahulu buat masa ini.

“Selain Melaka kami juga terima tawaran untuk buka Malakat Mall di Perak, Terengganu dan kelantan.

“Diharap pertambahan cawangan ini akan terlaksana dan kami membuka peluang kepada usahawan di negeri ini melalui kerjasama perniagaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Naib Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustad Masridzi Sat.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, sejak pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah kira-kira sebulan lalu pusat beli belah itu telah menyediakan 165 peluang pekerjaan yang mana 95 peratus daripadanya anak kelahiran daerah itu.

Coach Fadzil berkata, sebagai pusat beli belah yang baru bertapak, beliau mengharapkan sokongan daripada daripada orang ramai untuk ‘memindah perbelanjaan’ ke ekosistem ekonomi Islam yang sedang diperkasakan.

” Pada peringkat ini kami mengharapkan untuk memberi kefahaman kepada pengguna Islam mengenai kepentingan ekosistem itu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri dan Pejabat Ketua Menteri Melaka yang melancarkan proses pembukaan Malakat Mall di Masjid Tanah,” katanya.

Malakat Mall Masjid Tanah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here