Malakat Tribune terima tawaran perkongsian keuntungan bersama Malakat Grocer

0
351
Mohd. Fadzil melawat salah satu cawangan Malakat Grocer yang merupakan pusat perniagaan berkonsepkan komuniti setempat.

CYBERJAYA – Portal berita Malakat Tribune diberi kepercayaan memperkukuhkan strategi pemasaran dua daripada rangkaian pasar raya kumpulan Malakat iaitu Malakat Grocer cawangan Taman Kosas dan Pandan Mewah.

Bagi tawaran tersebut, portal yang memfokuskan berita-berita berkaitan usahawan itu layak menerima perkongsian 15 peratus keuntungan daripada cawangan Malakat Grocer berkenaan.

Perkara itu diumumkan oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Malakat Mall, Mohd. Fazli Rahim dalam satu pertemuan dengan krew Malakat Tribune diketuai Ketua Pengarangnya, Sharaimei Shaik Ahmedullah, baru-baru ini.

Mohd. Fadzil berkata, tawaran itu merupakan sebahagian daripada prinsip dan amalan perniagaan Kumpulan Malakat untuk melatih dan melahirkan usahawan berjaya melalui penglibatan dalam perniagaan sedia ada.

“Ini bukan perkara baharu dalam perniagaan kami. Sebelum ini kami sudah lahirkan ramai pengurus perniagaan termasuk dalam kalangan remaja lepasan sekolah dan kolej.

“Ia merupakan kepercayaan yang diberikan untuk mereka (kakitangan) membuktikan kemampuan dan potensi, sekaligus berkembang lebih maju,” katanya.

Portal MalakatTribune.

Malakat Tribune yang ditubuhkan pada penghujung tahun 2019 terdiri daripada tujuh bekas wartawan, jurufoto dan juruvideo Utusan Malaysia yang diterima bekerja di Kumpulan Malakat selepas syarikat akhbar tertua itu diisytiharkan ‘gulung tikar’.

Mohd. Fadzil Hashim

Mohd. Fadzil atau lebih popular dengan gelaran Coach Fadzil berkata, melalui perjanjian dimeterai, Malakat Tribune akan diberikan tugas untuk melaksanakan kempen pemasaran bagi kedua-dua outlet Malakat Grocer itu.

“Peluang ini diharap dapat memberi pendedahan baharu kepada krew bahagian editorial Malakat Tribune untuk mengetahui asas-asas pengoperasian runcit.

“Mungkin selepas ini mereka (Malakat Tribune) boleh memiliki cawangan Malakat Grocer mereka sendiri.

“Setakat ini enam cawangan yang sedia ada iaitu di Taman Putra Perdana, Kota Warisan, dua di Ampang, Cyberjaya dan Melaka sudah beroperasi dengan baik,” ujarnya.

Malakat Grocer menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga terbaik.

Coach Fadzil baru-baru ini mengumumkan sasaran pembukaan tiga lagi cawangan Malakat Grocer di Cheras, Kuala Lumpur; Gombak dan Denai Alam, Subang, Selangor dalam masa terdekat.

Selain itu katanya, penglibatan Malakat Tribune juga diharap dapat memberi pemahaman kepada orang ramai mengenai kempen ‘pindah belanja’ yang digerakkan oleh Malakat Mall dalam memperkasakan ekosistem ekonomi Islam di negara ini.

“Kami mahu memperluaskan MalakatEco supaya umat Islam faham dan sedar bagaimana ia berfungsi. Ia adalah permulaan kepada satu sistem ekonomi Islam yang perlu bermula sekarang.

“Melalui usaha itu juga, kami mahu lebih banyak usaha dilakukan untuk menarik orang ramai menyertai Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

“Yang paling penting, orang ramai perlu tahu dan diberikan pendedahan berterusan mengenai apa yang kami sedang lakukan sekarang,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here