Malaysia, China tubuh Jawatankuasa Peringkat Tertinggi pasca Covid-19

0
33
Datuk Seri Hishammuddin bersama rakan sejawatannya, Wang Yi di Fujian, China

CYBERJAYA – Malaysia dan China bersetuju untuk membentuk satu Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara terutamanya di era pasca Covid-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pembentukan kerjasama itu dicapai ketika pertemuannya dengan Menteri Luar China, Wang Yi di Fujian di China.

Katanya, kedua-dua negara juga bersetuju untuk saling mengiktiraf sijil vaksinasi digital atau sijil kesihatan Covid-19 bagi memudahkan pergerakan rentas sempadan antara Malaysia dan China apabila situasi mengizinkan.

“Selain itu, kita juga bersedia memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan Laluan Hijau Timbal Balik antara Malaysia-China.

“Kedua-dua negara juga bersedia untuk meningkatkan kerjasama vaksin termasuk mempertimbangkan penambahan jumlah vaksin buatan China ke Malaysia,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Malaysia juga dipelawa untuk membuka segmen Minyak Sawit Merah (RPO) di pasaran China.

Pada masa sama, katanya, Malaysia dan China juga akan memperkukuh usahasama dalam bidang pelaburan dan perniagaan termasuk sektor automotif.

“Selain itu, kedua-dua negara juga akan bersama memanfaatkan One Stop Centre yang telah dilancarkan Malaysia bertujuan memudahcara urusan pelancong perniagaan jangka pendek termasuk dari China,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here