Maritim Kuala Kedah patahkan penyeludupan 500 kg daun ketum

0
58
Anggota penguatkuasaan menunjukkan sebahagian daripada daun ketum yang dirampas di perairan muara Kuala Kedah.

ALOR SETAR – Cubaan menyeludup keluar lebih kurang 500 kilogram daun ketum berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah di perairan muara Kuala Kedah pada jam 2.55 pagi, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman telah mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak nekad terjun ke laut dengan berenang melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan meloloskan diri.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik berwarna hitam dan satu ruang simpanan ikan yang berisi bungkusan kecil yang disyaki daun ketum dengan berat lebih kurang 500 kilogram dan anggaran nilai RM90 ribu.

“Kesemua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran mengikuti jalan laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bungkusan daun ketum yang dirampas.

Noor Areyanti berkata, maklumat risikan juga melaporkan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah sehingga RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sahaja.

“Semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM 140 ribu itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan bahan terlarang ini. Sepanjang bulan ini sahaja, tiga kes rampasan daun ketum telah berjaya ditumpaskan dengan nilai anggaran RM 380 ribu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here