Maritim tahan bot Vietnam, ceroboh guna nombor pendaftaran tempatan

0
74
Krew nelayan dari Vietnam yang menggunakan nombor pendaftaran palsu ditahan di Tanjung Manis, Sarawak.

𝗧𝗔𝗡𝗝𝗨𝗡𝗚 𝗠𝗔𝗡𝗜𝗦 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis, Sarawak menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan Sarawak dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada 21 April lepas.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, bot tersebut bersama lapan kru beserta tekong warga Vietnam menyamar dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan SF2-3231 itu berjaya ditahan sekitar jam 12.26 tengahari pada jarak lebih kurang 107 batu nautika dari Utara Tanjung Sirik.

Hasil pemeriksaan menemui lebih kurang 400 kilogram ikan campur, manakala tekong dan semua kru telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Berdasarkan penemuan hasil tangkapan, dipercayai bahawa bot itu baharu memasuki perairan negara.

Kesemua kru termasuk tekong yang ditahan lelaki warga Vietnam berumur dalam lingkungan antara 33 hingga 51 tahun itu dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk menjalani ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan selanjutnya.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai permit untuk melakukan sebarang aktiviti penangkapan ikan di perairan negara dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong serta kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis ditalian 084- 613293 / Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082- 432544 yang beroperasi 24 jam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here