Masjid mukim, surau, musala di seluruh Kelantan diarah tutup

0
232
GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Semua masjid mukim, surau dan musala di Kelantan diarahkan tutup daripada melakukan aktiviti termasuk solat Jumaat, fardu, solat sunat tarawih dan aktiviti-aktiviti lain bermula esok sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut Bernama, keputusan itu diumumkan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan solat Jumaat, fardu dan solat sunat tarawih di masjid negeri, bandar dan jajahan adalah dibenarkan.

“Pelaksanaan itu dibenarkan dengan 50 peratus kehadiran jemaah daripada kapasiti masjid selepas penjarakan fizikal di dalam saf sebanyak dua meter.

“Manakala aktiviti-aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus Al-Quran, iktikaf dan lain-lain adalah tidak dibenarkan,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, masjid yang dibenarkan adalah Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Masjid Al Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Masjid Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan, Masjid Sultan Muhammad II,Telipot, Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh dan Masjid D’Raja Long Yunus, Langgar.

Selain itu, Masjid Bandar As-Salam, Pengkalan Chepa, Masjid Ismaili Jajahan Tumpat, Masjid Mahmoodi (Jajahan Bachok), Masjid Ibrahimi (Jajahan Pasir Puteh), Masjid Sultan Yahya Petra (Jajahan Machang) dan Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, (Jajahan Kuala Krai).

Turut dibenarkan dibuka ialah Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra (Jajahan Gua Musang), Masjid Sultan Muhammad I (Jajahan Jeli), Masjid Sultan Muhammad III (Jajahan Pasir Mas), Masjid Ismail Petra (Jajahan Tanah Merah) dan Masjid Bandar An-Nur Guchil, Kuala Krai.

Tengku Mohamad Rizam menambah, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here