Mesir sita kapal kargo MV Ever Given

0
362

KAHERAH – Pihak berkuasa Mesir semalam menyita kapal kargo MV Ever Given dan akan hanya melepaskan kapal tersebut sehingga pemiliknya membayar pampasan berjumlah USD900 juta (RM3.7 bilion).

Menurut akhbar tempatan, al-Ahram, keputusan menyita kapal yang menyebabkan laluan di Terusan Suez terhalang selama hampir seminggu itu diumumkan oleh Ketua Lembaga Terusan Suez (SCA), Osama Rabie.

Dalam pemfailan di mahkamah, SCA merujuk kepada Perkara 59 dan 60 undang-undang maritim Mesir bagi menguatkan hujah bahawa kapal itu mesti disita sehingga pampasan tersebut dibayar.

Pada 23 Mac lalu, kapal Ever Given telah tersekat menyerong di bahagian selatan terusan yang menjadi penghubung laluan perkapalan antara Eropah dan Asia itu.

Insiden itu berlanjutan selama 6 hari, sehinggalah kapal itu berjaya diperbetulkan kedudukannya dan berlayar keluar.

Menurut data Lloyd’s List, insiden tersebut menyebabkan pergerakan kargo di antara benua Asia dan Eropah yang dianggarkan bernilai USD9.6 bilion (RM39.66 trilion) sehari, terjejas.

Setakat ini belum dapat dipastikan pihak mana yang perlu melunaskan pembayaran tersebut kerana kapal Ever Given ditadbir oleh tiga entiti berbeza.

Kapal tersebut dimiliki oleh firma daripada Jepun, Shoei Kisen Kaisha, dengan pengendaliannya diuruskan oleh Bernhard Schulte Ship Management. Bagi perjalanan kali ini, kapal tersebut disewa oleh firma Taiwan, Evergreen Marine Corp.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here