Meskipun kelihatan susut, kesihatan Pak Lah tetap baik

0
363
Datuk Seri Reezal Merican berkongsi gambar bersama Pak Lah

CYBERJAYA – Meskipun sekarang terpaksa bergerak dengan menggunakan kerusi roda, tahap kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi masih berada dalam baik dan sihat.

Perkara itu dikongsikan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Menteri Belia dan Sukan ketika pulang ke kawasan parlimennya.

“Alhamdulillah. Rezeki Ramadan saya pada hari ini dapat berkunjung menziarahi Ayahanda Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima yang juga merupakan tok guru serta mentor saya yang sangat besar jasanya.

“Lazimnya saya akan menziarahi Ayahanda Tun Pak Lah dua kali sebulan. Cuma sejak empat, lima bulan lalu saya tidak berkesempatan melakukannya lantaran situasi Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19.

“Ayahanda Tun Pak Lah sihat walafiat dan masih tetap seperti dulu. Ada sahaja gurau senda beliau tatkala kami mengimbau memori dan kenangan bersama,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, sebagai anak didik Pak Lah perjalanan politiknya banyak dibentuk oleh beliau.

“Malah saya mewarisi satu legasi yang cukup besar yang telah dibina oleh beliau di Kepala Batas.

“Jasa dan bakti Ayahanda Tun Pak Lah kekal terpatri di Kepala Batas dan pastinya juga orang-orang ‘Kepala Bataih’ cukup merindui Ayahanda Tun,” ujarnya.

Sementara itu, Reezal Merican turut memohon doa orang ramai untuk terus mendokan kesejahteraan dan kesihatan berterusan untuk Pak Lah serta isteri, Tun Jeanne.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here