Najib gesa kerajaan buka semula tender komputer

0
94
Keperluan komputer dalam kalangan pelajar B40 penting terutama semasa pelaksanaan PDPR.

CYBERJAYA – Kegagalan kerajaan membekalkan 150,000 unit komputer kepada murid-murid golongan B40 tidak sepatutnya menjadi alasan untuk terus membiarkan pendidikan kepada golongan itu terbantut.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan perlu segera membuka semula tender pembekalan yang telah pun dilulus dalam Bajet 2021 pada Disember tahun lalu selepas kegagalan kontraktor terdahulu.

“Janganlah terus mementingkan dan berharap pada kontaktor terpilih yang telah terbukti gagal memenuhi jadual.

“Buatlah open tender (tender terbuka) serta-merta supaya semua supplier (pembekal) dalam Malaysia berpeluang untuk membekal dan menghantar kesemua 150,000 unit kepada keluarga miskin dengan serta-merta,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Najib berkata, kerajaan sebelum ini berjanji mempercepatkan ke bulan Februari tahun ini kerana keperluan mendesak bagi murid-murid sekolah yang perlu menjalani pendidikan di rumah akibat Covid-19.

Bagaimanapun tegasnya, semalam Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, 50,000 pelajar akan menerima bantuan komputer yang diluluskan Belanjawan 2021 itu pada akhir bulan depan manakala bakinya 100,000 lagi akan diedar pada akhir September ini.

Najib Tun Razak

Kelewatan itu menurut Najib mungkin disebabkan oleh syarikat pembekal yang dilantik kerajaan gagal menyediakan jumlah komputer yang diperlukan seperti yang dijadualkan.

Ketika ini, sekolah-sekolah seluruh negara bergilir ditutup semula. Seluruh negeri Kelantan dikenakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sekali lagi.

“Melihat keadaan Covid-19 yang masih tinggi dan semakin banyak jumlah kluster-kluster pendidikan diumum walaupun sudah tiga setengah bulan melaksanakan darurat, ianya tidak mustahil bahawa semua sekolah seluruh negara akan diarahkan untuk tutup semula dan semua pelajar disuruh untuk menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) sekali lagi.

“Masa itu, kerajaan nak murid miskin ikut PdPR pakai apa? Soal Ahli Parlimen Pekan itu dalam satu hantaran di Facebook.

Namun tambah Najib, pembukaan tender baharu akan menyebabkan kenaikan harga sehingga 30 peratus lebih tinggi dan bermakna bajet akan bertambah RM45 juta berbanding RM150 juta sebelum ini.

Jumlah itu pula tegasnya, jauh lebih berbaloi berbanding nilai masa depan 150,000 murid miskin yang memerlukan kemudahan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here