Nasib peniaga dilanda ribut dapat perhatian Ebit Lew

0
93
Ebit Lew bertemu peniaga Yong Tau Fu yang tular dalam video kejadian ribut Bazar Ramadan Wangsa Maju pada hari pertama Ramadan.

CYBERJAYA – Nasib peniaga bazar Ramadan Seksyen 1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang dilanda ribut dan angin kuat Rabu lalu mendapat perhatian penceramah bebas, Ebit Lew yang datang menghulurkan bantuan.

Ebit Lew menerusi akaun Instagramnya berkata, beliau menghadiahkan khemah kepada setiap seorang daripada 7 peniaga beserta duit belanja kepada sebahagian yang lain.

Beliau berkata, kejadian ribut pada hari pertama Ramadan itu menyebabkan ada yang kehilangan semua modal yang dilaburkan dan pulang tanpa peluang untuk berniaga lagi.

Salah seorang daripada peniaga yang ditemui Ebit Lew adalah keluarga peniaga Yong Tau Fu yang tular mengutip jualan yang jatuh di atas jalan semasa kejadian ribut pada Rabu lalu.

“Sebak sayu hati semalam bila tengok khemah makcik jual Yong Tau Fu di Wangsa Maju runtuh rosak diterbangkan angin.

“Baru hari pertama berniaga. Semuanya rosak. Dekat RM800 juga modal. Berat ujian mereka,” katanya.

Ebit Lew berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban golongan peniaga yang terkesan dan mendoakan mereka terus dimurahkan rezeki.

“Betapa besar harapan seorang peniaga menanti bazar Ramadan ini. Dengan nak dapat tapak. Ramai yang nak masuk. Dengan keadaan Covid-19 sekarang. Allahuakbar.

“Bila saya beri sedikit duit tadi wajah makcik berubah sebak sayu je. Ucap terima kasih. Gembira rasa dapat melihat beberapa peniaga gembira hari ini,” katanya.

Selain itu, Ebit Lew turut memborong hasil jualan para peniaga di situ untuk membantu mereka meraih pendapatan.

“Berapalah sangat untung mereka. Tapi demi rezeki halal. Bagi kita mungkin sedikit tetapi bagi peniaga 50 sen itu rezeki buat mereka.

“Saya doakan ALLAH berkatkan dan mudahkan buat semua peniaga bazar Ramadan dan pasar malam di seluruh Malaysia,” katanya.

Ebit Lew turut memborong juadah yang dijual untuk membantu peniaga terlibat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here