Neelofa, PU Riz, keluarga dikompaun RM60,000 langgar SOP PKP

0
174
Majlis perkahwinan pasangan ini mencetus kontroversi kerana didapati melanggar SOP PKPB

CYBERJAYA – Selepas berminggu diadakan siasatan akhirnya pasangan selebriti terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali PU Riz serta ahli keluarga dikenakan kompaun selepas didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Memetik laporan Berita Harian, Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 manakala PU Riz dikenakan RM10,000

Tindakan mengenakan kompaun yang tidak dibenarkan diskaun terhadap Neelofa kerana melakukan dua kesalahan, manakala Haris atau dikenali PU Riz hanya satu kesalahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung.

Katanya, pasangan suami isteri itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis.

Dalam pada itu, katanya, turut dikompaun ialah seramai 20 ahli keluarga Neelofa.

“Seramai 20 orang dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 seorang yang berjumlah RM30,000 kerana gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Semua yang terbabit akan dikeluarkan kompaun hari ini di mana jumlah keseluruhan kompaun adalah sebanyak RM60,000,” katanya.

Justeru, katanya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)menasihati orang ramai supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kegagalan mematuhi perintah ini membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang masih berkuatkuasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here