[VIDEO] Nor Ismawarni bina empayar Duchess dengan modal RM30

0
269
Empayar Duchess yang dibina Nor Ismawarni dan suami, Muhamad Anwaruddin bermula pada 2016.

BUANG rasa malu dan ego…itu antara rahsia kejayaan usahawan Nor Ismawarni Ismail dan suaminya, Muhamad Anwaruddin Mohamad Sidek yang kini bergelar usahawan berjaya dalam perniagaan tudung.

Dengan bermodalkan RM30 sahaja pada hujung 2016, perniagaan yang menggunakan jenama Duchess itu terus berkembang dalam masa yang singkat dan memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka.

BINA EMPAYAR DUCHESS dengan HANYA RM30!

Menurut Nor Ismawarni, sebelum bergelar usahawan tudung, beliau sebelum ini telah menjalankan lima perniagaan lain namun, kelima-limanya gagal kerana faktor tertentu termasuk masalah pemasaran.

Nor Ismawarni yang merupakan bekas pensyarah di universiti tempatan berkata, peniagaan Duchess bermula pada 2016 selepas beliau merasai ‘keperitan’ hidup akibat gagal dalam perniagaan terdahulu.

Nor Ismawarni dan suami, Muhamad Anwaruddin sentiasa memastikan kualiti produk Duchess

“Saya bekas pensyarah dan suami bekas penjawat awam, kami ambil keputusan untuk berhenti ketika menguruskan restoran. Kami amat susah ketika itu, perniagaan gagal dan perlu membayar pinjaman.

“Perniagaan restoran itu perniagaan kelima saya dan selepas itu baru perniagaan tudung ini bermula. Walaupun pada mulanya pada skala kecil namun, kini jenama Duchess sudah dikenali dan diminati,” katanya.

Nor Ismawarni juga sentiasa membuat ‘live’ di Facebook Duchess untuk memaklumkan keluaran terbaharu Duchess

Mengulas idea perniagaan tudung jenama Duchess, Nor Ismawarni berkata, ia bermula ketika beliau sendiri berdepan masalah untuk memakai ‘anak tudung’ biasa kerana terlalu ketat dan menyakitkan telinga.

Bermula dari situ, beliau mula memikirkan kaedah dan mencuba untuk hasilkan anak tudung sendiri untuk keselesaan sebelum terfikir untuk memasarkan produk itu kepada mereka yang berdepan masalah sama.

Anak tudung Duchess mendapat permintaan yang tinggi oleh pengguna

“Dengan bermodalkan RM30 yang saya ada ketika itu, saya beli tiga meter kain untuk hasilkan 15 anak tudung. Pada mulanya saya tidak jual lagi, saya ingin cari kelainan untuk produk saya agar berbeza.

“Pengalaman dalam perniagaan sebelum ini mengajar saya berwaspada termasuk mengelak daripada produk diciplak. Saya ketika itu tiada duit, jadi hanya guna logo ‘crown’ yang diambil di rumah kakak.

Nor Ismawarni dan suami, Muhamad Anwaruddin memberi taklimat kepada pekerja pada setiap minggu

“Pada mulanya susah untuk jual, bayangkan siapa yang mahu pakai anak tidung yang ada logo atas kepala. Ada juga yang mahu beli tetapi mahu logo dibuang, saya berkeras untuk anak tudung saya seadanya dengan logo.

“Saya kata, jika mahu buang logo, pelanggan boleh gunting di belakang saya. Bagi saya, itu jati diri saya, saya kena tegas dalam hal itu. Harga anak tudung ini dijual pada harga RM16, memang mahal tapi eksklusif,” katanya.

MUA Bellaz mengayakan tudung keluaran Duchess

Mengulas lanjut, Nor Ismawarni berkata, bagi memperkenalkan lagi produknya, beliau telah berkunjung ke rumah Make Up Artist (MUA) Bellaz atau nama sebenarnya, Nur Nabilah Zulyaidini untuk meminta bantuan.

“Saya ke rumah MUA Bellaz ketika itu dan minta bantuan dia untuk pakai anak tudung saya dan minta pandangan selesa atau tidak. Saya cerita segalanya bahawa saya tengah susah dan dengan modal RM30 saya buat anak tudung ini.

“Saya terus terang kepadanya yang saya tiada duit untuk bayar dia ketika itu seperti mana orang lain bayar untuk ‘review’ produk. Saya minta dia pakai sahaja, tanpa sebut nama tudung pun tidak mengapa.

Antara koleksi tudung keluaran Duchess

“Alhamdulillah selepas promosi dan pemasaran yang berkesan, Duchess mula dikenali dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. Kami berkembang sedikit demi sedikit dalam bidang ini,” katanya.

Menurut Nor Ismawarni, pada enam bulan pertama menjual anak tudung, beliau telah mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.5 juta.

“Perasaan pada masa itu hanya Allah sahaja yang tahu…pada 2016, 2017 dan 2018 saya hanya fokus kepada penghasilan anak tudung sahaja. Pada 2018 juga, saya mula ambil agen untuk jualan anak tudung.

“Pada 2018 juga, saya ada masuk RISDA Biz Challenge dan muncul juara. Saya dapat RM50,000 untuk kembangkan lagi perniagaan saya. Dalam pertandingan itu saya pilih untuk gunakan wang kemenangan bagi ‘packaging’.

Pegawai RISDA juga sentiasa turun padang melihat perkembangan produk Duchess

“Pada mulanya, ramai yang tidak setuju dengan idea ‘packaging’ saya itu kerana ia memang susah untuk diluluskan. Namun, rezeki tetap berpihak kepada saya dan menang RISDA Biz Challenge pada ketika itu,” katanya.

Menurut Nor Ismawarni, beliau juga telah bekerjasama dengan RISDA untuk membantu usahawan jahitan RISDA di Pendang, Kedah dengan menjadikan mereka tukang jahit tudung keluaran Duchess.

Usahawan jahitan RISDA juga mendapat manfaat perkembangan perniagaan tudung Duchess

“Alhamdulillah perniagaan tudung jenama Duchess ini semakin berkembang dan kami juga ada mengeluarkan tudung jenis lain bagi memenuhi permintaan pelanggan. Sehingga kini lebih 30 tudung telah dikeluarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Anwaruddin berkata, Duchess juga berdepan banyak cabaran sebelum berada di kedudukan sekarang, antara cabaran ketara ialah terpaksa berdepan dengan masalah produk tiruan.

Muhamad Anwaruddin menjadi ‘orang kuat’ di sebalik kejayaan Duchess

“Selepas Duchess mula menembusi pasaran, sudah ada produk tiruan di pasaran. Kita dapati produk kita telah diciplak dan dijual di pasar-pasar malam di seluruh negara. Ia memang menjejaskan perniagaan kami.

“Pada tahun lalu, selepas negara dilanda Covid-19. Ia juga memberi kesan kepada Duchess. Jualan tidak memberansangkan sehingga berlaku lambakan stok. Namun, kami tetap tabah dan berusaha lebih untuk berjaya.

Tudung La Vie En Rose keluaran Duchess

“Kami juga tidak abaikan staf dan terus bersama mereka sehingga sekarang. Terima kasih kepada semua pihak termasuk RISDA yang telah banyak memberi doorngan dan membantu kami sehingga berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Ismawarni berkata, beliau menyasarkan Duchess akan terus berkembang pesat dalam lima tahun akan datang dan pelanggan mengenali produk keluaran Duchess kerana kualitinya yang terbaik.

Model mengayakan tudung keluaran Duchess

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here