PDRM akan dapatkan perincian sebenar kes peniaga dikompaun RM50,000

0
113
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR- Polis Dirajaya Malaysia (PDRM) akan mendapatkan perincian sebenar mengenai peniaga di Kelantan yang dikenakan kompaun RM50,000.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bagaimanapun berkata, beliau percaya bahawa anak buahnya melakukan kerja dengan penuh ikhlas.

“”Saya hendak mendengar kedua-dua belah pihak, saya percaya anak buah saya lakukan kerja itu dengan ikhlas tetapi mereka yang terkesan tadi rasa ia tidak adil,” katanya.

Menurut Abdul Hamid, kompaun RM50,000 yang dikenakan kepada peniaga yang berniaga melebihi masa yang ditetapkan itu masih boleh dirayu.

“Itu bukanlah ‘hukuman mati’ (bukan muktamad), saya sudah berkali-kali nyatakan mereka (peniaga yang dikpmpaun) boleh merayu (kepada Kementerian Kesihatan).

“Ia bukan ‘mati’ di situ, boleh merayu dan berikan faktor-faktor yang boleh dimaafkan atau diringankan jumlah kompaun,” katanya.

Sebelum ini tular, seorang peniaga burger dikompaun RM50,000 kerana dikatakan masih berniaga pada sekitar 11 malam, sekalipun gerai burger di depan rumahnya tersebut tidak lagi dibuka kepada pelanggan, sebaliknya dia hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pekerja kilang.

Satu lagi kes membabitkan pasangan suami isteri yang berniaga colek di depan rumah mereka juga kerana beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.

Kelantan kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan hingga 29 April yang antara lain mengehadkan waktu operasi perniagaan bagi membendung penularan kes Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here