Pegawai Daerah Muar sumbang RM30,000 untuk pelajar UPM daripada keluarga B40

0
256
Mustaffa Kamal (tengah) menyampaikan sumbangan itu kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr Arifin Abdu melalui Tabung Mampu Infaq Muar Perkasa.

CYBERJAYA – Prihatin terhadap kepayahan yang dihadapi oleh pelajar golongan B40 Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika pandemik Covid-19 melanda negara, seorang alumni universiti tersebut tampil dengan menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 bagi meringankan beban mereka.

Menurut UPM dalam satu kenyataan, sumbangan itu disampaikan oleh Pegawai Daerah Muar, Mustaffa Kamal Shamsudin kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr Arifin Abdu melalui Tabung Mampu Infaq Muar Perkasa.

“Beliau telah memberikan sumbangan sebanyak RM15,000 melalui Tabung Mampu Infaq Muar Perkasa 2030 dan sebanyak RM15,000 berserta 300 kotak kurma daripada sumbangan peribadi beliau,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Mustaffa Kamal yang juga bekas pelajar UPM program Diploma Pertanian kelas 1989 terdetik untuk memberikan sumbangan kepada UPM setelah membaca berita UPMPrihatin: Bantuan Peranti dan Pelan Data kepada pelajar B40 yang dikeluarkan oleh sebuah portal bulan lalu.

Sehubungan itu, katanya, beliau hadir sendiri ke pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) pada 1 dan 4 April lalu untuk menyerahkan sumbangan tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dr Arifin Abdu

“Dalam pertemuan itu beliau menyatakan hasrat untuk berusaha membantu UPM terutamanya kepada pelajar B40 yang kini mengalami keperitan akibat pandemik Covid-19.

“Beliau juga menyeru kepada semua alumni UPM untuk turut sama menyumbang kepada golongan yang memerlukan terutamanya para pelajar UPM dan semoga usaha beliau ini menjadi pemangkin kepada alumni yang lain dengan semangat “Berilmu Berbakti”,” katanya.

Mustaffa Kamal turut mengagihkan 300 kotak kurma dan duit raya untuk pelajar terpilih

Sementara itu, Arifin berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk membeli peranti dan pelan data dan akan diagihkan kepada pelajar B40 UPM yang berasal dari Muar, Johor.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here