Pekerja sektor perkilangan, pembuatan Pulau Pinang dan Selangor diberi keutamaan terima vaksin

0
98
Azmin menyerahkan bubur lambuk kepada salah seorang penerima pada Program Mengedar Bubur Lambuk di Hulu Kelang, hari ini. – twitter/azminali

CYBERJAYA – Pekerja industri perkilangan dan pembuatan khususnya di Pulau Pinang dan Selangor diberikan keutamaan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, berikutan kedua-dua negeri itu mempunyai aktiviti ekonomi yang amat rancak.

Demikian ulasan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa kerajaan negeri masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat berhubung gesaan supaya pekerja sektor industri dan perkilangan yang dikategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi diberi keutamaan menerima vaksin.

“Kita ambil maklum Pulau Pinang dan Selangor antara negeri yang menyumbang kepada ekonomi negara sebab wujudnya industri dan aktiviti ekonomi yang rancak… maka ini adalah zon-zon yang akan diberikan keutamaan untuk pekerja-pekerja dalam industri perkilangan dan pembuatan mendapatkan suntikan vaksin,” kata Azmin kepada Bernama ketika ditemui pada Program Mengedar Bubur Lambuk di Hulu Kelang, hari ini.

Azmin menambah, kerajaan amat komited untuk memastikan proses Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat dilaksanakan seberapa segera termasuk dalam pemberian suntikan terhadap pekerja asing.

“Sebabnya mereka ini memainkan peranan penting dalam memulihkan aktiviti ekonomi negara, tetapi seperti yang telah diumumkan Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras PICK) bahawa kita juga berdepan dengan masalah bekalan vaksin.

“Sekiranya bekalan vaksin ini dapat tiba dalam negara pada waktu yang telah dijadualkan, kita yakin proses ini (suntikan vaksin) dapat disempurnakan selewat-lewatnya sehingga hujung tahun ini.

“Setakat ini pembekalan vaksin berjalan dengan baik dan lancar. Kita dimaklumkan dalam bulan Mei dan Jun jumlah bekalan akan meningkat dengan lebih besar dan ini akan mempercepatkan proses imunisasi,” kata Azmin lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here