Pelajar IPT, sekolah di Sarawak dilarang tinggalkan asrama

0
79
Douglas Uggah Embas

CYBERJAYA – Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak tidak dibenarkan meninggalkan kampus ekoran peningkatan kes positif Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, larangan itu termasuk tidak membenarkan pelajar pulang ke rumah masing-masing bagi mengelak penularan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, selain pelajar IPT, arahan supaya kekal di asrama masing-masing itu juga dikenakan kepada pelajar sekolah berasrama.

“Memandangkan semua sekolah di Sarawak yang berada dalam zon merah ditutup sehingga 3 Mei, kita mengambil keputusan agar arahan melibatkan pelajar IPT dan berasrama itu juga dikuatkuasakan selama 14 hari,” katanya seperti dilaporkan Bernama, semalam.

Sementara itu, Amar berkata, JPBN memutuskan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Batu Gong, Siburan, memandangkan keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu.

“Selain itu, tiada bukti menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan itu dan JPBN ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan penduduk kampung atas kerjasama menjayakan PKPD itu,” katanya.

Semalam sahaja, sebanyak 600 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak menjadikan keseluruhan jumlah jangkitan di negeri itu meningkat kepada 25,129 kes.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing berkata, proses vaksinasi di Stadium Tertutup Sibu pada Selasa terpaksa ditangguhkan berikutan bekalan vaksin yang diperlukan belum mendapat pelepasan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perancangan awal Jabatan Kesihatan Negeri adalah untuk memberikan vaksin itu kepada 800 petugas barisan hadapan dan penerima Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi penerima dalam senarai menunggu.

“Bagaimanapun, pada 16 April pihak kami dimaklumkan terdapat masalah ‘lot release’ oleh KKM dan vaksin itu tidak dapat dibekalkan ke Sibu,” katanya pada sidang akhbar sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here