Pelajar kolej tidak perlu bayar kompaun

0
179
Gambar tular ketika pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng dikenakan kompaun baru-baru ini

PERAK – Kes enam pelajar Kolej Matrikulasi Perak di Gopeng yang tular kerana dikenakan kompaun akibat tidak memakai pelitup muka sudah diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamaruddin berkata, pelajar terbabit tidak perlu membayar kompaun tersebut.

“Kami telah mengadakan perjumpaan dengan kolej itu, Pusat Kesihatan Kampar dan Pengarah Kesihatan Perak, baru-baru ini dan satu keputusan diambil.

“Pelajar terbabit tidak perlu membayar kompaun dikenakan. Mereka tidak perlu membayar apa-apa pun dan saya beri jaminan kes ini akan selesai.

“Keputusan yang dicapai dan mendapat kerjasama semua pihak ini sangat baik dan membantu pelajar yang datang dari keluarga asnaf,” katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu katanya, isu tersebut tidak perlu lagi diulang atau diperbesarkan demi memberi ruang kepada enam pelajar terbabit menduduki peperiksaan dengan tenang.

“Kami juga berkesempatan berjumpa dengan bapa salah seorang pelajar itu bagi memberikan semangat dan memberi jaminan kes itu akan selesai segera,” katanya.

Pada 19 April lalu, enam pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng dikenakan kompaun RM1,500 oleh Pegawai Kesihatan KKM kerana tidak memakai pelitup muka dan meletakkannya di bawah dagu.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati enam pelajar berkenaan dan melalui ciapan seorang pemilik akaun yang tular meluahkan rasa kesal dengan tindakan kompaun berjumlah RM1,500 sedangkan elaun yang mereka terima bagi tempoh enam bulan hanyalah RM1,250.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here