Pemeriksaan haid pelajar langgar batas agama dan budaya

0
218
Dr Maszlee Malik

CYBERJAYA- Kaedah pemeriksaan fizikal untuk memeriksa haid dalam kalangan pelajar perlu dihentikan kerana tidak dibenarkan dan menjatuhkan maruah pelajar.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, tindakan seperti itu bukan sahaja melanggar privasi malah boleh menjadi gangguan seksual dan penderaan kepada pelajar.

“Amalan pemeriksaan haid secara spotcheck di sesetengah sekolah seperti dilaporkan oleh Malaysiakini tidak sepatutnya berlaku dan perlu dihentikan.

“Menggunakan alasan bagi melakukannya atas nama disiplin dan pendidikan adalah sesuatu tidak dibenarkan dalam mana-mana pedagogi, budaya, agama atau norma,” katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Kenyataan itu dibuat beliau berikutan laporan kejadian warden asrama dan pengawas di sebuh sekolah memaksa pelajar menunjukkan kesan darah haid bagi mereka yang tidak dapat hadir bersolat atau berpuasa.

Dalam laporan kejadian itu, pelajar juga didakwa diraba di bahagian sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita atau sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kes itu seharusnya dihentikan kerana ia sesuatu yang memalukan.

“Pelajar sekolah kita harus dijaga keselamatannya di sekolah dan dilindungi daripada sebarang bentuk bahaya dan penderaan,” ujar Maszlee.

Hari ini juga, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengarahkan siasatan dilakukan terhadap sekolah yang didakwa melakukan pemeriksaan ‘datang bulan’ tersebut.

“Perkara ini tak wajar dan tak sepatutnya berlaku di sekolah, jadi saya pandang serius, saya akan buat susulan dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan dan MARA supaya perkara ini tak terjadi lagi. Ia amat mengejutkan, tidak boleh diterima pun pada akal fikiran kita,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here