Penduduk Alam Damai komited untuk ‘pindah belanja’ ke Malakat Grocer

0
2028
Pelanggan yang hadir membeli barangan di Malakat Grocer Alam Damai.

CHERAS – Pembukaan Malakat Grocer cawangan Alam Damai di sini hari ini memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan barang-barang makanan dan keperluan halal dengan lebih yakin.

Malakat Tribune menemui kumpulan pertama pelanggan yang hadir pada majlis pembukaan dan berbelanja di pasar raya itu tengah hari tadi.

Mohd Dhiya Dinie Md Darus, 33, anggota Polis Diraja Malaysia berkata, sebagai muslim dia kini boleh berbelanja dengan hati yang tenang dan tidak perlu lagi risau mengenai status halal.

Katanya, pembukaan pasar raya itu sekurang-kurangnya memberi penyelesaian kepada umat Islam untuk menyahut tuntutan mencari yang halal kerana kewajipan itu tidak boleh sekadar dilafazkan di bibir tanpa dizahir dengan perbuatan .

Dhiya berkata, dengan pelbagai isu yang membelenggu umat Islam sejak kebelakangan ini, pembukaan Malakat Grocer sekurang-kurangnya mengurangkan rasa was-was ketika membeli keperluan seperti ayam dan daging,

“Kawasan ini tak banyak sangat pilihan tempat membeli barang basah dan segar yang ada. Di sesetengah kedai runcit, ada yang saya rasa was-was takut bercampur dengan sumber tidak halal.

“Bila ada Malakat Grocer, saya yakin orang ramai terutama umat Islam mempunyai pilihan yang lebih baik kerana kita tahu Malakat Mall mesti halal,” katanya yang tinggal di Taman Desa Cheras.

Antara pelanggan yang hadir pada majlis pembukaan Malakat Grocer hari ini.

Sementara itu, Nashrin Yakob, 42, mengucapkan terima kasih kepada Malakat Mall kerana membuka rangkaian pasar raya di situ.

Katanya, pemilihan Alam Damai sebagai lokasi cawangan terbaharu sememangnya keputusan tepat kerana mempunyai kira-kira 70 hingga 80 peratus penduduk Islam.

“Kami sudah lama mendengar dan membaca mengenai Malakat Mall di Facebook. Bila dapat tahu mereka nak buka di sini, saya sangat gembira dan alhamdulillah hari ini sudah dapat membeli-belah di dalamnya.

“Hasil daripada hebahan dan ‘blast’ di WhatAps dan Facebook, ramai juga yang datang hadir ini,” ujarnya.

Nashrin yang mengusahakan perniagaan roti, cek dan pastri secara kecil-kecilan di rumah di Alam Damai berharap Malakat Grocer akan menjadi tempat baharu kepada para usahawan menempatkan produk.

“Setakat ini saya sudah mendapatkan maklumat mengenai jenis-jenis produk yang bersesuaian atau diperlukan.

“Sebagai usahawan, kami tahu betapa sukarnya untuk mendapat tempat memasarkan produk di pasar raya milik bukan Islam,” katanya.

Selain itu dia berharap supaya pihak pengurusan Malakat Grocer dapat mengukuhkan hubungan dengan komuniti setempat melalui penganjuran acara atau program khidmat sosial.

“Sumbangan baucer kepada lebih 100 penerima asnaf hari ini memang sesuatu yang sangat baik. Insyallah kami akan bersama-sama menyokong perniagaan Malakat Grocer selepas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here