Penganggur ditahan guna wang palsu

0
81

CYBERJAYA – Gara-gara menggunakan wang palsu ketika membeli pakaian di tapak sebuah ekspo di Jempol, seorang wanita ditahan dan diserahkan kepada polis oleh sekumpulan peniaga.

Ketua Polis Daerah Jemppol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, seorang wanita berusia 33 tahun telah ditahan oleh sekumpulan peniaga selepas disyaki menggunakan wang palsu ketika berbelanja di situ.

Katanya, kejadian pada pukul 10.30 malam itu disedari oleh seorang peniaga selepas membuat pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas duit.

“Wanita yang menganggur itu ditahan selepas membuat pembelian pakaian bernilai RM40 di salah sebuah gerai menggunakan wang tunai kertas bernilai RM100. Peniaga kedai berkenaan kemudian memulangkan baki RM60.

“Bagaimanapun kira-kira 30 minit kemudian, seorang lagi peniaga datang bersama suspek ke gerai tersebut lalu mengarahkan pemeriksaan dibuat ke atas wang tunai RM100 tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, hasil pemeriksaan mendapati wang tunai yang diterima daripada wanita berkenaan juga adalah palsu.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mendakwa tiga keping wang kertas RM100 yang dimiliki adalah hasil jualan telefon peribadi milknya.

“Peniaga ekspo itu menyerahkan suspek di balai polis berhampiran.

“Suspek mengakui menggunakan wang kertas berkenaan bagi urusan pembelian barangan di tapak ekspo namun mendakwa tidak mengetahui wang kertas yang diterima hasil jual telefon itu adalah wang palsu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 489 C Kanun Keseksaan dan suspek direman selama empat hari bermula Jumaat bagi melengkapkan siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here