Penganggur tidak mengaku pukul penghantar makanan dengan penukul

0
403
Muhammad Aslam Hashim, 31, yang juga penganggur membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abdul Manap di Mahkamah Majistret Jenayah 1, di sini pagi ini. Gambar media sosial

GEORGETOWN – Seorang lelaki yang menghentak kepala seorang penghantar makanan dengan menggunakan penukul dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, dekat sini Selasa lalu mengaku tidak bersalah.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Muhammad Aslam Hashim, 31, yang juga penganggur membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Jamaliah Abdul Manap di Mahkamah Majistret Jenayah 1, di sini pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia pada 20 April lalu telah menyebabkan kecederaan kepada Koay Eng Tat dengan cara memukul menggunakan sebatang penukul besi di kepala mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Blok P, Desa Permai Indah, Jalan Helang, Sungai Dua, Gelugor, dekat sini sekitar pukul 4 petang.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan 25 Mei ini sebagai tarikh penyerahan dokumen serta lantikan peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Yazid Mustakim Roslan manakala tertuduh diwakili peguam.

Koay Eng Tat cedera sekepas dipukul menggunakan sebatang penukul besi di kepala, semalam

Media sebelum ini melaporkan seorang penghantar makanan berusia 40 tahun terpaksa menerima sembilan jahitan di bahagian kepala selepas dihentak dengan penukul besi oleh seorang lelaki.

Kejadian itu berlaku selepas pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka ekoran suspek dikatakan berang kerana mendakwa penghantar makanan berkenaan memarahi isterinya ketika menghantar makanan yang dipesan.

Sebelum itu, penghantar makanan berkenaan menunggu kira-kira 10 minit dan menelefon isteri suspek beberapa kali untuk mengambil makanan yang dipesan.

Beberapa minit selepas menghantar makanan itu, mangsa dihubungi semula oleh suspek kononnya bagi meminta penjelasan mengenai makanan yang dihantar.

Bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka sehingga menyebabkan penghantar makanan berkenaan dipukul menggunakan penukul besi oleh suspek.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here