Pengasas Malakat Mall mohon maaf, sila datang tuntut apa yang tidak ditunaikan esok di Malakat Mall

0
41160
Malakat Mall

CYBERJAYA – Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada sesiapa sahaja yang rasa dirinya telah dianiaya oleh beliau.

Mohd. Fadzil berkata, mengambil berkat bulan Ramadan, beliau memohon maaf jika ada terkhilaf kerana dirinya juga manusia yang banyak kesilapan dan kelemahan.

“Memikirkan kita berada di bulan Ramadan dan kalau benarlah bekas pekerja, pembekal atau usahawan yang ras dianiaya oleh saya dan hak mereka saya tidak tunaikan saya mohon maaf.

“Saya manusia juga, bila orang kata macam-macam terasa juga, tetapi saya pun baharu jumpa para ustaz dan maulana, mereka tidak bagi ‘direct’ tetapi faham dan ini saya fikir nak mohon kemaafan.

“Khususnya kepada bekas staf yang saya sebut namanya semalam, Istighfar Hamidon. Saya mohon maaf kepada awak dan saya rancang mahu berjumpa untuk bertanya apa salah saya dan saya mahu mintak maaf.

Pengasas Malkat Mall, Mohd. Fadzil Hashim

“Apa salah awak, saya sudah maafkan dan jika awak tidak rasa tiada apa-apa salah tidak mengapa…kalau saya ada lagi hutang dengan awak saya akan bayar,” katanya secara ‘live’ di Facebooknya sebentar tadi.

Menurut Mohd Fadzil, beliau menjemput sesiapa sahaja yang rasa dianiaya dan mereka yang tidak dibayar untuk datang ke Malakat Mall esok untuk membuat tuntutan hak masing-masing.

“Saya keluar selama tiga hari, tetapi saya akan pulang ke Malakat Mall terus usaha di sana dan Insya-Allah esok saya ajak sesiapa yang rasa nak tuntut hak dia dengan saya, saya jemput datang ke Malakat Mall.

“Bawa tuntutan dan sekiranya benar saya berhutang dan masih ada lagi apa-apa yang saya tidak tunaikan hak anda saya mohon maaf dan saya tidak mahu kerana pakaian saya dijadikan fitnah kepada agama.

“Saya hanya manusia biasa, saya tidak sempurna dan banyak kesilapan dan pastinya saya ambil pendekatan bahawa saya silap semuanya, saya lemah dan saya pendosa.

“Kalau ada yang nak teruskan tindakan (undang-undang) saya tidak boleh halang tetapi, saya mohon maaf kalau ada hutang dengan saya dan sila datang ke Malakat Mall esok untuk tuntut.

“Jika tidak mahu datang, maklumkan dimana rumah saya akan datang. Saya serahkan hidup saya, keluarga saya berkhidmat untuk ummah. Jika ada hutang bagitahu, biar saya lunaskan agar tidak dituntut di masyar nanti.

“Kepada Allah saya sudah memohon maaf kerana tidak pandai didik diri saya dan pengurusan. Apabila berlaku kemudaratan dalam organiasai maknanya saya yang lemah, saya mintak maaf kepada staff yang rasa marah dengan saya,” katanya.

Selain itu, Mohd Fadzil bersyukur kerana Allah bagi kekuatan untuk memohon maaf khususnya kepada Istighfar kerana beliau ketika itu panas hati, kata tidak buat kerja dan sebagainya.

“Saya mohon maaf sekali lagi, itu silap saya. Saya harap boleh terima, kalau saya ada hutang bagitahu jumlah, kalau tidak mahu ke Malakat Mall, saya boleh datang berjumpa.

“Saya Mohd. Fadzil Hashim, sedia berdepan segala tuntutan segera mungkin. Saya dengan penuh hina, banyak dosa jauh terpelihara. Mungkin nampak pada saya, imej agama ia kerana saya mahu belajar,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau turut memohon doa daripada rakan-rakan agar diberikan kekuatan dalam meneruskan perjuangan dan berdoa agar tidak dibolak balik tinggalkan perjuangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here