Pengawal keselamatan dipukul, diugut bunuh kerana berpuasa

0
606
Kesan lebam di badan mangsa. Gambar media sosial

CYBERJAYA – Dua pengawal keselamatan mendakwa ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam semalam kerana didapati menjalani ibadah puasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 10 malam itu, kedua-dua mangsa ditampar dan dimarahi apabila memberitahu mereka berpuasa selepas ditanya sama ada mereka berpuasa atau tidak ketika berada di lobi Residensi One KL, Jalan Pinang, di sini

Katanya, kedua-dua mangsa kemudian mengikut suspek yang berusia 43 tahun itu ke rumahnya di Batu Nilam, Klang, Selangor, sebelum dipukul dengan sebatang rotan.

“Apabila sampai di rumah suspek, pengadu dan rakannya dipukul dengan sebarang rotan dan diacukan pistol.

“Kedua-dua mangsa mengalami lebam pada bahagian belakang badan dan telah mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan polis yang tular berkaitan kejadian tersebut

Beliau berkata, siasatan awal mendapati koedua-dua mangsa terbabit bekerja di sebuah syarikat dikenali sebagai GMP Kaisar Sekuriti Sdn Bhd dan dilantik sebagai pengawal peribadi kepada suspek.

“Kedua-dua mereka sudah berkerja dengan suspek selama tiga hingga tujuh tahun lalu dan punca kejadian dipercayai akibat suspek tidak suka mangsa dan rakannya berpuasa pada bulan Ramadan dan memaksa mereka untuk tidak berpuasa.

“Suspek juga telah merampas sepucuk pistol jenis Glock milik seorang daripada mangsa dan mengacukannya ke arah mangsa sambil membuat ugutan bunuh,” katanya.

Zainal berkata, suspek lelaki terbabit yang juga seorang ahli perniagaan sudah ditahan sebentar tadi.

Pada masa ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama atas melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, tular laporan polis dan gambar kedua-dua mangsa dalam laman sosial hari ini.

Dalam gambar yang dirakam itu jelas kelihatan kesan luka dan lebam akibat dipukul.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here