Pengeluaran notis kompaun mesti ikut garis panduan – Takiyuddin

0
97
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan

CYBERJAYA – Kerajaan menggesa pegawai penguatkuasa supaya mengikut garis panduan ditetapkan ketika mengeluarkan sebarang kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia berikutan kerajaan sudah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun mengikut Akta 342.

Katanya, Akta 342 itu adalah sebagai panduan kepada penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pindaan yang dibuat terhadap Akta 342 adalah untuk menaikkan kadar kompaun yang boleh dikenakan bagi sesuatu tindakan atau perbuatan yang menjadi kesalahan kerana menyebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara ini.

“Mengikut garis panduan itu, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis adalah kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, pengurangan sebanyak 50 peratus diberikan kepada pesalah dikenakan kompaun jika mereka membayarnya dalam tempoh tujuh hari atau 25 peratus jika ia dilunaskan dalam tempoh 14 hari.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan mengenakan kompaun bagi kesalahan bawah peruntukan undang-undang adalah semata-mata bertujuan pencegahan dan memberi pengajaran kepada pelaku agar semua individu mahupun peniaga bersama-sama bertanggungjawab; memerangi pandemik Covid-19 dalam komuniti yang masih lagi berada di peringkat kritikal serta serius.

Semalam, tular di media sosial apabila seorang penjual burger mendakwa dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Pengeluaran notis kompaun itu mengundang kecaman pelbagai pihak yang menyifatkannya melampau tatkala rakyat terpaksa mencari pendapatan untuk menyara diri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here