Penilaian risiko KKM tentukan boleh balik kampung atau tidak pada Hari Raya Aidilfitri

0
130
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Perjalanan rentas negeri untuk balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri akan ditentukan selepas penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agak sukar untuk membuat keputusan kerana balik kampung antara penyumbang kenaikan kes Covid-19

“Saya ambil contoh Kelantan. Sebelum ini Kelantan negeri hijau, tetapi ia menjadi negeri merah selepas perjalanan balik kampung pada Disember lalu.

“Sama juga dengan Sarawak. Dahulunya negeri hijau, tetapi selepas musim balik kampung untuk Krismas, kita dapat tengok Sarawak jadi negeri merah.

“Sehingga hari ini, masih ada beberapa bahagian yang merah, di Sarawak” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam segmen Pagi Di Sinar hari ini.

Menurut Ismail Sabri, KKM menjangkakan jumlah kes baharu boleh diturunkan ke angka 500 sekitar Mei depan.

Bagaimanapun katanya, tidak dapat dipastikan berapakah jumlah angka yang dikira selamat untuk membolehkan perjalanan balik kampung dibenarkan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menjelaskan perjalanan rentas negeri untuk aktiviti pelancongan hanya dibenarkan daripada negeri hijau ke negeri hijau melalui agensi pelancongan.

“Ramai yang masih salah faham. Melancong hanya dibenarkan dari negeri hijau ke negeri hijau dan melalui agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

“Ini kerana, melancong dengan agensi memudahkan kawalan SOP. Contohnya, kalau pelancong itu pergi sendiri, mungkin dia akan melencong ke tempat lain.

“Tetapi dengan agensi berdaftar, semua sudah diaturkan termasuk pengangkutan yang sesuai. Jadi mudah untuk dikawal dan pelaksanaan SOP boleh dipantau,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here