Penjawat awam digalak potong gaji untuk berwakaf

0
146
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Penjawat awam di seluruh peringkat digalakkan berwakaf melalui cara potongan gaji bagi membantu meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berikutan itu satu inisiatif perlu dirangka di peringkat kerajaan persekutuan untuk menggalakkan penjawat awam berwakaf.

Beliau berkata, peranan wakaf dapat terus diperkasakan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara, menerusi pelan berkenaan,

“Ini juga diharap akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat, tanpa mengira agama, kaum mahupun keturunan.

“Jadinya, saya berharap pembabitan semua pihak sama ada masyarakat, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dapat dioptimumkan demi memperkasakan peranan wakaf dalam usaha membangunkan ekonomi negara,” katanya ketika melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021, yang disiarkan secara maya, pagi ini.

Sehubungan itu, beliau mahu semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan serta agensi peringkat persekutuan memainkan peranan dalam menggalakkan pegawai dan kakitangan mereka berwakaf.

Katanya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan dan negeri.

“Begitu juga dengan institusi-institusi perbankan dan kewangan dalam membantu mempelbagaikan lagi platform berwakaf.

“Institusi-institusi kewangan Islam seharusnya menjadikan wakaf sebagai elemen yang menjadi nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan kewangan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here