Perhilitan tangkap dua ekor gajah ‘sesat’ berhampiran kem tentera

0
62
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara

CYBERJAYA – Dua ekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan hutan berhampiran dengan kuarters kakitangan Kem Iskandar di Mersing, berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), petang kelmarin.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata, tangkapan pertama adalah seekor gajah betina pada pukul 3.15 petang manakala tangkapan gajah jantan pada pukul 3.45 petang.

Beliau berkata, tangkapan kedua-dua ekor gajah yang aktif itu dibuat selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai kelibat haiwan berkenaan yang dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk.

“Kami menerima aduan pagi semalam (kelmarin) yang mengatakan terdapat lima hingga 12 gajah berada di dalam kawasan hutan terbabit dan dikhuatiri akan tersesat hingga ke Istana Flinstone yang terletak hanya kira-kira 1.5 kilometer dari kawasan itu.

“Menurut pengadu, gajah tersebut telah berada di kawasan itu sejak seminggu lepas dan kawalan serta cubaan menghalau telah dijalankan oleh pihak jabatan, namun kumpulan gajah tersebut tidak mahu bergerak (dari kawasan itu),” katanya dalam satu kenyataan.

Salman berkata, kedua-dua gajah liar tersebut merupakan sebahagian daripada kumpulan gajah Jemaluang yang menimbulkan konflik di sekitar kawasan Pekan Jemaluang, FELDA Tenggaroh, Kampung Wak Salam dan Kampung Sri Pantai.

“Kita akan menjalankan pemantauan ke atas gajah ini sehingga dipindahkan ke habitat baharu dan hasil pemantauan pagi tadi (semalam) didapati baki kumpulan gajah tersebut juga telah tiada di tempat operasi dan disyaki telah bergerak masuk ke Hutan Simpan Jemaluang yang terletak berhampiran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here