PKP: Polis Kelantan tingkat sekatan jalan raya

0
29
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Polis Kelantan akan mengadakan 17 sekatan jalan raya berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP)  selama dua minggu bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat dalam satu kenyataan berkata, sekatan dan pemeriksanaan jalan raya itu melibatkan 13 lokasi di tujuh daerah terlibat termasuk empat sekatan di sempadan negeri.

Katanya, sekatan jalan raya itu diadakan bagi mengawal pergerakan orang ramai secara lebih ketat termasuk mereka yang mempunyai surat kebenaran merentas negeri.

“Sebagaimana yang diputuskan, Kelantan diletakkan di bawah PKP bermula 16 hingga 29 April ini, jadi bermula malam ini kita akan mengadakan sekatan jalan raya bagi membataskan pergerakan.

“Setiap daerah akan diadakan dua atau tiga SJR. Kita juga mengambil pendekatan menutup semua laluan tikus.

“Justeru, kita memohon rakyat Kelantan supaya bersabar memandangkan trend Covid-19 di Kelantan semakin meningkat,” katanya hari ini.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP di Kelantan membabitkan daerah Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Sementara itu Shafien berkata, seramai 500 anggota dan sukarela polis bertugas di sekatan jalan raya selain bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Selain itu pihaknya juga akan memperketatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan lokasi yang menjalankan perniagaan sempena Ramadan.

“Sejak dua hari Ramadan, kita boleh lihat pematuhan SOP agak kurang baik). Namun kita beruntung sebab Kelantan tiada bazar Ramadan, tetapi mereka masih dibenarkan berniaga di tepi jalan.

“Disebabkan itu saya sudah mengarahkan unit penguatkuasaan supaya memantau dan melihat kepatuhan SOP rakyat di negeri ini.

Pada masa sama kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan operasi.

“Harapan saya dalam kita menyambut Ramadan dan mencari juadah berbuka, marilah kita sama-mata patuhi SOP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here