PKPD di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ) Pulai Chondong bermula esok

0
88
PKPD di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang, Kelantan bermula 21 April sehingga 4 Mei 2021.

CYBERJAYA – Kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ), Pulai Chondong, Machang, Kelantan bermula 21 April sehingga 4 Mei 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menjelaskan keputusan melaksanakan PKPD di MTAQ, Pulai Chondong dibuat selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di MTAQ, Pulai Chondong di Machang, Kelantan.

“Sehingga kini, sebanyak 243 ujian saringan dilakukan KKM dan daripada jumlah itu sebanyak 97 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya dalam kenyataan akhbar harian berkaitan pelaksanaan PKP.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan PKPD di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian, Sarawak pada 23 April ini.

Manakala PKPD di Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman, Sarawak ditamatkan pada 21 April.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here