PM umum dividen RM189.08 juta kepada pekebun Risda dan Felcra

0
78
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM189.08 juta kepada pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah bersetuju untuk menyelaraskan pengagihan dividen tersebut sebagai sebahagian usaha kerajaan membantu komuniti pekebun kecil di bawah kedua-dua agensi itu.

“Seramai 16,080 pekebun kecil RISDA yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan seramai 15,165 pekebun kecil yang mengusahakan Tanam Semula Komersil (TSK) bakal menerima dividen tahun 2020 dengan jumlah RM82.03 juta melibatkan keluasan 39,430 hektar.

“Saya difahamkan RISDA turut mengagihkan keuntungan zakat korporat kepada lebih 4,000 asnaf pekebun kecil dan institusi agama terpilih di seluruh Malaysia dengan nilai zakat berjumlah RM2.48 juta.

“Sebanyak 58,826 peserta Felcra Berhad di seluruh negara akan menerima agihan akhir lebihan keuntungan tahun 2020 sejumlah RM107.053 juta secara berperingkat, bermula hari ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Dividen Risda dan Felcra tahun 2021 di Ibu Pejabat RISDA di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Muhyiddin, agihan akhir lebihan keuntungan Felcra 2020 itu hasil daripada keuntungan bersih 890 projek ladang milik peserta yang dimajukan Felcra.

“Bayaran agihan itu melengkapkan amalan pembayaran keuntungan tahunan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada bulan Ogos, Disember dan April setelah akaun projek siap ditutup.

“Agihan keuntungan itu adalah hasil daripada keuntungan bersih 890 projek ladang-ladang milik peserta yang dimajukan oleh Felcra. Bakinya, iaitu 327 projek adalah terdiri daripada projek yang belum berhasil dan dalam fasa tanaman semula,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sekali lagi menyediakan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT 2021) kepada seramai 232, 319 pekebun kecil yang melibatkan peruntukan berjumlah RM 69.9 juta membabitkan pembayaran RM600 seorang pada kadar RM300 untuk Disember ini dan Januari tahun depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here