Pokok durian musang king ditanam secara haram di hutan simpan dimusnahkan

0
1494
Gambar hiasan

RAUB – Pejabat Hutan Daerah Raub mengesan kawasan baharu di daerah itu yang diteroka secara haram untuk ditanam durian jenis musang king dan duri hitam.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, siasatan mendapati turut di tanam di kawasan Kompartmen Satu, Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras di sini ialah pisang jenis berangan dan sematu.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan memusnahkan tanaman itu bermula awal pagi semalam.

“Ketika operasi dijalankan pihak kami tidak menemui pekerja dalam kawasan ladang berkenaan, dipercayai mereka terlebih dahulu bertindak meninggalkan tempat itu sebelum serbuan dilakukan.

“Operasi pemusnahan ladang haram yang bermula semalam dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari bergantung dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kini,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Katanya, siasatan mendapati kawasan berkenaan diteroka dengan tanaman pisang jenis berangan dan sematu berusia empat bulan sementara durian Musang King dan Duri Hitam pula berusia tiga bulan dalam kawasan seluas lebih 16.2 hektar.

Dalam pada itu, katanya, operasi musnah bermula 9 pagi semalam turut disertai 14 kakitangan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain memusnahkan pokok yang ditanam, beliau berkata, pihaknya turut bertindak merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara dibina, dipercayai tempat tinggal 10 hingga 15 pekerja ladang berkenaan yang bekerja dengan tiga individu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha memusnahkan tanaman yang ditanam secara haram itu mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 5,300 pokok pisang (4,000) dan durian Musang King serta Duri Hitam (1,300).

Jelasnya, bentuk muka bumi yang berbukit di kawasan Hutan Simpan Sempam turut menjadi faktor berlaku kelewatan operasi memusnahkan tanaman yang dilakukan secara berterusan.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga individu dipercayai menjadi dalang meneroka kawasan berkenaan yang terletak di tengah Hutan Simpan Sempam, mereka seolah degil serta cuba mencabar kerajaan negeri dan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan tegas menanti mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here