Polis cadang Neelofa dan suami dikenakan kompaun

0
116
Selebriti popular, Neelofa, 32, sah menjadi isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz, 26.

CYBERJAYA – Polis mencadangkan agar Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa dan suaminya, Haris Ismail dikenakan kompaun.

Ia susulan majlis perkahwinan pasangan berkenaan yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, jumlah kompaun bergantung kepada keputusan Timbalan Pendakwa Raya.

“Setakat ini kita sudah serahkan kertas siasatan berhubung majlis perkahwinan usahawan berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Timbalan Pendakwa Raya yang akan putuskan sama ada beliau akan didakwa atau sebaliknya. Kita hanya beri cadangan agar beliau dikenakan kompaun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular gambar di media sosial memaparkan tetamu yang hadir di majlis perkahwinan Neelofa gagal mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam majlis itu, Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pendakwah bebas, Haris Ismail, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Susulan insiden itu, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kemudiannya, pada 5 April lalu, Neelofa dan pasangannya itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here