Polis kesan penghasilan dadah dari cendawan yang tumbuh pada tahi lembu

0
257
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad-Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Polis mengesan kegiatan menghasilkan dadah dengan cara kotor dan jijik dengan menggunakan cendawan yang tumbuh pada tahi lembu.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad berkata, dadah tu digunakan bagi tujuan hiburan.

Beliau berkata, dadah tersebut kebanyakan dalam bentuk cecair dan dicampurkan ke dalam minuman sewaktu penganjuran parti liar dan di pusat hiburan.

“Najis lembu akan mengeluarkan cendawan dan akan diproses…dadah jenis ini akan membuat mereka yang mengambilnya berhalusinasi.

“Mereka yang mengambil dadah jenis ini akan positif ujian air kencing,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama hari ini.

Menurut Zainudin, pihaknya sentiasa berwaspada walaupun penggunaan dadah jenis tersebut masih sedikit dan kurang popular di pasaran tempatan

“Permintaan terhadap dadah jenis ganja, syabu dan heroin masih mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zainudin berkata, trend baharu pengedaran dadah ketika ini beralih kepada penggunaan perkhidmatan e-hailing, kurier dan e-dagang.

“Sejak 18 Mac tahun lepas sehingga Isnin, polis telah membuat 156 tangkapan yang melibatkan penghantar dan penerima iaitu e-hailing (40 tangkapan), kurier (100) dan e-dagang (16).

“Kita bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan kurier dan mereka akan melaporkan jika terdapat maklumat pada barangan yang mencurigakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here