Polis lanjut diskaun saman 50 peratus

0
69
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus saman kesalahan lalu lintas sehingga Khamis ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, tempoh lanjutan bayaran saman itu dibuat atas sambutan yang menggalakkan dan permintaan orang awam.

“JSPT melanjutkan empat hari lagi tawaran diskaun 50 peratus sehingga 15 April (Khamis) menerusi MyBayar Saman,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Azisman berkata, lebih RM73 juta bayaran saman dikutip menerusi aplikasi MyBayar Saman dalam tempoh 18 hari sejak ia dilancarkan pada 25 Mac lalu.

Katanya, jumlah itu membabitkan sebanyak 659,998 saman yang dibayar.

“Sebanyak 56,909 saman dijelaskan membabitkan bayaran berjumlah RM6.28 juta pada semalam (Ahad),” katanya.

Tambah Azisman, seramai 708,030 pengguna telah berdaftar dengan aplikasi terbabit.

Pada 25 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tawaran sempena sambutan Hari Polis ke-214 itu akan bermula pada 25 Mac hingga 11 April.

Kata Abdul Hamid, semua jenis kompaun saman diberikan diskaun 50 peratus sehingga 11 April ini kecuali enam kesalahan utama iaitu memotong garis kembar, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju ditetapkan di lebuh raya, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tidak berhenti di lampu isyarat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here