Polis pantau kumpulan pengganas Daesh di Malaysia susulan pengeboman gereja di Makassar

0
260
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis memantau perkembangan dan pengaruh kumpulan pengganas Daesh di negara ini susulan insiden pengeboman di luar gereja di Makassar, Indonesia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, isu berkaitan agama perlu ditangani dengan serius bagi mengelak dieksploitasi oleh pihak tertentu.

“Kejadian di Makassar itu amat mengejut dan menyedihkan. PDRM memerhati dengan serius dan sentiasa memantau perkembangan pengaruh militan itu.

“Amat berbahaya kepada keselamatan negara sekiranya isu berkaitan agama ini dieksploitasi sehingga mencetuskan sentimen kebencian,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, pengeboman bunuh diri di luar gereja di Makassar pada Isnin lalu, dilakukan oleh dua anggota kumpulan pelampau Daesh yang dipersalahkan atas letupan gereja lain, termasuk serangan maut di Filipina pada 2019.

Dalam kejadian itu, kira-kira 20 penganut Kristian cedera akibat letupan kuat di luar gereja bandar Makassar di Sulawesi ketika mereka menyambut permulaan Minggu Suci.

Selain itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyifatkan serangan di Makassar sebagai satu keganasan kejam dan pengecut.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Majlis Keselamatan PBB mahu pelaku bertanggungjawab, penaung serta penaja serangan pengganas itu perlu dibawa ke muka pengadilan.

Badan dunia itu menggesa semua pihak bekerjasama dengan kerajaan Indonesia menangani isu itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here