Polis perketat pintu masuk ke Kelantan termasuk di laluan-laluan tikus

0
377
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat

KOTA BHARU – Polis Kelantan akan memperketatkan sekatan jalan raya di pintu masuk ke negeri itu sepanjang Ramadan ini bagi menyekat mereka yang cuba balik kampung untuk berbuka puasa dengan keluarga.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata pada masa sama pihaknya juga akan memantau laluan-laluan tikus yang digunakan pengguna jalan raya bagi mengelak daripada melalui sekatan polis.

“Setakat ini, kita kekal kepada empat sekatan jalan raya iaitu dua di Gua Musang dan masing-masing satu di Jeli serta Pasir Puteh.

“Namun kita akan perketat sekatan jalan raya termasuk di laluan tikus kerana kita khuatir akan ada yang mengambil kesempatan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sementara itu, Shafien turut menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba merentas negeri tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Kita harap mereka yang pulang atau keluar dari Kelantan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mengambil surat kebenaran di balai polis masing-masing.

“Sekiranya kita mendapati mereka tidak mempunyai surat kebenaran, pihak polis akan mengarahkan mereka supaya berpatah balik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here