Polis tahan doktor hospital kerajaan edar ganja

0
377
Dadah dan wang tunai yang dirampas polis

PETALING JAYA – Polis menahan enam lelaki termasuk seorang doktor hospital kerajaan kerana disyaki terlibat aktiviti dalam pengedaran dadah dalam serbuan di Taman Sri Manja di sini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam semalam itu, polis merampas 11 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering, disyaki ganja seberat 1.9 kilogram (kg) bernilai RM4,900 serta wang tunai RM1,450.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, semua suspek berumur antara 26 hingga 30 tahun dan seorang daripadanya ialah doktor hospital kerajaan di Selangor.

“Menerusi serbuan itu, polis merampas empat kereta dan sebuah motosikal dengan nilai rampasan dianggarkan RM139,000.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, keputusan menunjukkan lima daripadanya positif dadah jenis ganja, manakala seorang lagi negatif.

“Semakan mendapati keenam-enam suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mohamad Fakhrudin, semua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada kira-kira 1,913 penagih,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here