Polis terima laporan pelajar yang dakwa guru bergurau keterlaluan tentang rogol

0
162
Tangkap layar seorang pelajar perempuan yang menceritakan tindakan guru sekolahnya yang berjenaka secara lucah.

CYBERJAYA – Polis telah menerima laporan seorang remaja yang mendakwa guru Pendidikan Jasmani bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya akan menyiasat secara terperinci laporan remaja berkenaan yang diterima kira-kira pukul 10.08 malam pada Sabtu lalu.

 Shafa’aton berkata, mangsa yang berumur 16 tahun itu membuat laporan polis ekoran kejadian tersebut telah mendatangkan kegusaran dan perasaan tidak senang hati kepadanya.

“Sehubungan itu, polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap laporan yang dibuat dan akan memanggil saksi terlibat untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya  Shafa’aton , kes disiasat di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini tular pendedahan seorang remaja tentang seorang guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di Selangor pada Jumaat yang didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Katanya, pada mulanya pelajaran berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.

Bagaimanapun, pelajar berkenaan mendakwa guru lelaki itu bergurau dan mula bercakap lucah.

“Guru itu kemudian berkata, jika pelajar-pelajar nak rogol, janganlah rogol yang bawah 18 tahun, rogol yang 18 tahun ke atas sebab banyak undang-undang untuk bawah umur,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here