
KUALA LUMPUR – 1 Ramadan tahun ini menjadi detik paling getir dan suram bagi tujuh sekeluarga di Perumahan Awam (PA) Sri Pulau Pinang, Cheras di sini apabila rumah didiami mereka rosak akibat ribut kuat petang semalam.
Zainab Che Jenal, 47, merupakan antara enam ketua keluarga yang kehilangan tempat tinggal apabila bumbung Blok 2, 3 dan 6 kediaman flat milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diterbangkan angin.
Zainab berkata, ujian bulan puasa kali ini betul-betul berat apabila kediaman yang menjadi tempat dia dan enam lagi ahli keluarga berteduh musnah.
Katanya, hatinya berasa cukup pilu mengenangkan nasib anak dan cucunya untuk menjalani kehidupan seharian sepanjang bulan puasa dan hari raya nanti.
“Kerosakan bumbung pada petang semalam menyebabkan air masuk mencurah-curah ke dalam rumah.
“Tidak ada apa yang sempat diselamatkan kecuali sebuah laptop kerja milik anak perempuan saya. Yang lain semua rosak.
“Sekarang plaster siling semua sudah rosak. Harap pihak berkuasa dapat segerakan pembaikan,” katanya ketika kepada Malakat Tribune hari ini.


Zainab yang mendiami flat berkenaan sejak 28 tahun lalu berkata, akibat kerosakan itu dia dan ahli keluarga terpaksa menumpang rumah anak di Bukit Jalil dan kembali hari ini untuk membersihkan rumah.
“Walaupun ada sebuah dewan disediakan kepada keluarga yang terjejas, saya mengambil keputusan untuk tidak ke sana kerana memikirkan faktor kesihatan.
“Tambah pula dalam keadaan Covid-19 sekarang,”ujar pengawal keselamatan yang menghuni blok 6 itu lagi.
Menurut anaknya, Norfitrah Che Nor, kejadian berlaku dalam masa yang terlalu pantas sehingga tidak sempat menyelamatkan barang-barang keperluan.

Penghuni blok 3, Azli Aziz, 31, pula berkata, dia bernasib baik kerana berada di rumah ketika kejadian kerana isterinya, Noor Nadhirah Abdullah,27 sedang mengandung 7 bulan.
“Keadaan memang mencemaskan kerana air turun ke dalam rumah sampai berlaku litar pintas di ruang tamu rumah.
“Saya merayu kalau ada peluang berilah peluang kami pindah ke rumah DBKL yang lain buat masa ini,” katanya ketika membersihkan rumahnya hari ini.


Sementara itu, seorang lagi penghuni, Aik Lye, 60, berharap bahagian bumbung yang diterbangkan angin dan masih berjuntai di blok 6 dapat dibersihkan segera oleh DBKL kerana merbahaya kepada penduduk.
“Kita tidak tahu berapa lama ia melekat di situ.Takut jatuh kena orang di bawah,” katanya.
Tinjauan Malakat Tribune hari ini mendapati kerja-kerja pembersihan dan membaiki sudah dijalankan oleh kontraktor DBKL di salah satu bangunan yang terjejas.
Penduduk bagaimanapun mengharapkan kerja tersebut dapat dipercepatkan kerana bimbang kediaman mereka dimasuki air lagi setiap kali
hujan. -MT
