Ramadan: Ambil kesempatan kaut keberkatan, teguhkan ketakwaan dan perbanyakkan amal soleh

0
41
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa kepada umat Islam di negara ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, bersempena dengan ketibaan Ramadan, baginda mengambil kesempatan menyeru kepada seluruh umat Islam agar mengaut keberkatan untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri serta memperbanyakkan amalan soleh.

“Umat Islam turut diseru mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan menggandakan ibadah serta memperkukuhkan lagi ukhwah sesama insan.

“Ekoran daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Pemulihan di negara ini, baginda bertitah supaya penganjuran majlis-majlis di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perintah-perintah yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, baginda turut menasihati umat Islam khususnya petugas di barisan hadapan agar terus tabah menjalani ibadah puasa di dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu dalam usaha untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.

“Seri Paduka Baginda juga menasihati ahli-ahli politik negara untuk merapatkan saf berganding bahu memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.

“Ahli-ahli politik perlu menjadi contoh kepada rakyat dari sudut penyatuan dan urus tadbir negara dengan baik. Biarlah kehadiran Ramadan menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik lebih bersih, beradab dan berintegriti,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau berkata, Seri Paduka Baginda turut menasihati ahli-ahli politik supaya memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah dalam membantu rakyat yang amat terkesan akibat ancaman wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari.

“Pada ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak ini, kestabilan ekonomi amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik untuk merangsang ekonomi negara,” ujar beliau.

Ahmad Fadil menambah, baginda turut menzahirkan jaminan kepada rakyat bahawa sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan yang mendukung prinsip Keluhuran Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara di negara ini.

“Seri Paduka Baginda turut berpandangan bahawa keutamaan dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos 2021 sewajarnya diberikan kepada usaha melawan Covid-19 dan tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi negara menerusi inisiatif-inisiatif kerajaan termasuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.

“Akhirnya, Seri Paduka Baginda berdua turut menyeru seluruh umat Islam untuk mengambil keberkatan Ramadan bagi bersama baginda berdua mendoakan semoga negara terus dilindungi dan dirahmati serta wabak Covid-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan segera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here