Rejim Zionis jadikan vaksin alasan sekatan ke Masjid Al-Aqsa

0
291

Umat Islam dihalang daripada melawat Masjid Al-Aqsa selepas pihak berkuasa Israel menjadikan pengambilan vaksin sebagai syarat utama.

BAITULMAQDIS – Pihak berkuasa kerajaan haram Israel, terus menindas umat Islam dari Tebing Barat daripada memasuki Masjid Al-Aqsa dengan menjadikan pengambilan vaksin sebagai syarat utama kebenaran.

Menurut laporan agensi berita ArabA8, pihak berkuasa Israel menetapkan syarat supaya para jemaah dari wilayah jajahan perlu divaksin untuk akses ke tapak suci umat Islam berkenaan.

Sekatan terbaharu terhadap ribuan jemaah Palestin pada hari Jumaat pertama Ramadan baru-baru ini mencetuskan kemarahan umat Islam kerana masalah bekalan vaksin yang tidak mencukupi di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Berikutan itu, pusat pemeriksaan tentera Israel di kawasan penduduk Tebing Barat dan Israel mengalami kesesakan teruk dan ribuan umat Islam hilang peluang bersolat Jumaat di Masjid Al-Aqsa .

Sementara itu, agensi Anadolu melaporkan, perselisihan berlaku antara rakyat Palestin dan pasukan penjajah Israel di Qalandia Checkpoint.

“Kami dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa dengan alasan tidak diberi vaksin,” kata salah seorang penduduk yang menyifatkan alasan itu sebagai helah untuk mengurangkan kemasukan umat Islam ke kawasan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here