Rentas negeri bawa dadah, guna alasan mahu bantu rakan habis minyak di LPT2

0
126
Polis menunjukkan barangan yang dirampas bersama suspek

KEMAMAN – Seorang lelaki yang cuba merentas negeri dengan membawa sejumlah dadah berjaya ditahan oleh polis di sekatan jalan raya (SJR), kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Perasing, Kemaman semalam.

Lelaki berumur 29 tahun dari Kuantan, Pahang ditahan kira-kira pukul 4.50 petang dan memberikan alasan untuk merentas negeri bagi menolong rakannya yang kehabisan minyak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, ketika ditahan lelaki yang memandu Perodua Viva tersebut dalam keadaan mencurigakan dan gagal mempamerkan surat rentas negeri.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menemui beberapa jenis dadah dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM20,000.

“Polis temui serbuk kristal atau serbuk putih dalam kereta suspek seberat kira-kira 600 gram dan lebih kurang 140 biji pil berwarna merah disyaki pil kuda.

“Turut ditemui adalah mesin timbang serta wang tunai sebanyak RM10,000 yang diikat rapi,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki tersebut mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan baharu sahaja enam bulan bebas daripada hukuman buang daerah, di Machang, Kelantan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah dan Seksyen 342 Akta Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melakukan pergerakan merentas negeri tanpa kebenaran.

Jelasnya , lelaki tersebut kemudiannya telah dibawa ke IPD Kemaman untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit turut positif dadah jenis methamphetamine.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here