Rentas negeri diluluskan hanya pada Isnin hingga Khamis – PDRM

0
1136
Sekatan jalan raya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan.

CYBERJAYA – Berkuat kuasa serta merta, pergerakan rentas negeri yang diluluskan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.

Menurut Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, pergerakan yang diluluskan hanya melibatkan tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian yang melibatkan ahli keluarga terdekat (ibu bapa, adik beradik dan anak), perubatan, pendidikan serta pasangan jarak jauh.

“Pergerakan pada hujung minggu, iaitu pada hari Jumaat hingga Ahad tidak akan diluluskan, kecuali melibatkan urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh,” kata Acryl Sani dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Beliau menambah, pergerakan rentas negeri bagi sebarang tujuan sosial seperti menghadiri majlis perkahwinan dan apa-apa jenis majlis dan jamuan adalah dilarang sama sekali.

“Aturan ini akan berterusan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri, dan mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas,” kata kenyataan itu lagi.

Pada masa yang sama, Acryl Sani turut menegaskan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dan pasar malam perlu ditingkatkan.

“Semua Ketua Polis Daerah dan pasukan pemantau pematuhan SOP akan digerakkan ke semua lokasi berkenaan (bazar Ramadan dan pasar malam).

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran SOP, PDRM akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan supaya aktiviti perniagaan di kawasan itu dihentikan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here