Sekolah mohon maaf isu pengasingan ikut kaum

0
997

CYBERJAYA – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bentara Luar di Batu Pahat, Johor tampil memohon maaf selepas insiden meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan Satu baru-baru ini.

Pihak sekolah mengakui terlepas pandang bahawa isu berkenaan pendaftaran dan penyertaan dalam aktiviti kokurikulum tersebut akan menjadi isu perkauman.

“Kami tidak berniat langsung untuk mencetuskan perkara tersebut. Pihak sekolah tetap menjunjung dan akur dalam melaksanakan semua dasar dan arahan daripada kerajaan.

“Sekali lagi kami mohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang berlaku,” katanya seperti dilapor FMT, semalam.

Tambahnya, pihak sekolah akan menarik balik dan membatalkan kemudahan pendaftaran secara dalam talian menggunakan Google Forms yang telah dimuat naik pada 15 April lalu bagi tujuan proses penambahbaikan.

“Pendaftaran semula akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan mengedarkan borang pendaftaran sukan dan permainan kepada semua murid.

“Murid boleh memilih sukan dan permainan yang mereka minati (namun masih tertakluk kepada bilangan penyertaan ahli kelab sukan dan permainan yang disusun atur oleh pihak sekolah supaya penglibatan murid dalam semua kelab sukan permainan seimbang dari segi bilangan, ras dan jantina),” katanya.

Semalam, tular di media sosial satu surat dikeluarkan sebuah sekolah menengah di Batu Pahat yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan Satu.

Berdasarkan kandungan surat itu, seorang pelajar hanya dibenarkan memilih satu jenis sukan daripada 12 jenis sukan yang ditawarkan, malah syarat kaum diletakkan bagi sukan yang perlu dipilih pelajar ketika mendaftar dalam talian.

Misalnya, sukan bola sepak untuk pelajar lelaki Melayu sahaja, bola keranjang untuk pelajar lelaki dan perempuan Cina sahaja, manakala sukan sepak takraw bagi pelajar lelaki Melayu sahaja.

Tindakan sekolah itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Menteri Pendidikan, Radzi Mohd Jidin yang mengarahkan supaya tindakan diambil kerana ia bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di peringkat sekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here