Seorang pegawai kanan dan tiga anggota polis ditahan kerana peras ugut pengurus kilang di Johor

0
535
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

CYBERJAYA – Seorang pegawai kanan dan tiga anggota polis ditahan pada 8 April lalu bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan melibatkan seorang pengurus kilang di Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan pihaknya mendapati suspek telah meminta wang  RM1,500 untuk tindakan undang-undang tidak diambil terhadap pekerja warganegara Bangladesh di premis terbabit.

“Mangsa telah menyerahkan wang tersebut kepada suspek sebelum suspek beredar dari tempat kejadian dan tidak mengambil tindakan terhadap pekerja itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Menurut Ayob Khan, susulan laporan dibuat oleh mangsa, tangkapan dibuat terhadap kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 26 hingga 46 tahun pada pukul 6.15 petang pada 8 April lalu.

“Kesemua suspek turut direman selama sehari dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ayob Khan, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk pada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Mengulas lanjut berhubung kegiatan itu, Ayob berkata pihaknya percaya suspek telah lama terlibat dalam kes pemerasan terhadap pengurus kilang di daerah berkenaan.

“Mereka ini dah lama jalankan akitviti ini, maklumat-maklumat sebelum ini tidak sampai ke IPK, mereka ini dah jadi macam pemungut cukai pintu pergi kilang ke kilang untuk buat pemerasan.

“Kali ini, mangsa datang buat laporan sebab itu kita ambil tindakan, saya sedang siasat sama ada laporan ada dibuat terhadap Ketua Polis Daerah (OCPD). Kalau tidak ambil tindakan sebab empat orang ni dah buat (kegiatan) lama dah, jadi saya arahkan tangkap bila maklumat sampai dekat saya,” katanya.

Tegas Ayob Khan lagi, bukan menjadi kebanggaan buat Polis Johor apabila jumlah pegawai serta anggota dibuang kerja meningkat tahun ini.

Sebaliknya, ia bagi membersihkan institusi itu daripada individu yang bersekongkol dengan sindiket mahupun jenayah.

“Paling cepat dan mudah, kita buka kertas siasatan di bawah kes-kes jenayah, bukan satu kebanggaan tindakan buang kerja di Johor.

“Tahun lepas sahaja 46 orang dibuang kerja, tahun ini kemungkinan 20 orang dibuang kerja.Ini menunjukkan Polis Johor boleh ambil tindakan dalaman sendiri, membetulkan PDRM dari dalam dan ambil tindakan tegas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here