Sesi persekolahan sekolah menengah berjalan lancar di SMK Cheras

0
139

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras mengimbas suhu badan sebelum memasuki ke sekolah pada hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

KUALA  LUMPUR – Sesi persekolan secara bersemuka bagi peringkat menengah yang bermula hari ini berjalan lancar dan pelajar kelihatan kelihatan bersemangat hadir ke sekolah.

Tinjauan Malakat Tribune di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras hari ini mendapati pelajar bersemangat dengan masing-masing hadir lebih awal ke sekolah berkenaan.

Aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berkenaan juga berjalan lancar dengan guru-guru bertugas memastikan segala persiapan berjalan seperti dijadualkan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras memasuki ke sekolah pada hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Ada pelajar yang datang sendiri ke sekolah SMK Cheras dan ada juga yang dihantar oleh ibu bapa masing-masing terutamanya melibatkan pelajar tingkatan satu.

Bagi pelajar tingkatan satu, mereka terlebih dahulu dikumpulkan dalam dewan sekolah berkenaan untuk taklimat sebelum di bawa ke kelas masing-masing.

Tinjauan di sekolah berkenaan juga mendapati, terdapat ibu bapa pelajar tingkatan satu yang setia menunggu anak masing-masing diluar pagar bagi memantau perkembangan.

Ibu bapa pelajar tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras merakam gambar anak mereka ketika memantau dari luar pagar sekolah pada hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka hari in

Seorang ibu, Azian Alias berkata, hari ini beliau menghantar anak keduanya ke sekolah berkenaan bagi memberi semangat untuk terus belajar bersungguh-sungguh.

“Saya dan suami datang hantar hari ini, nak beri dia semangat supaya lebih gembira untuk belajar. Pagi-pagi lagi hari ini, anak saya sudah bangun dia betul-betul bersemangat.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras memasuki ke sekolah pada hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

“Walaupun sudah masuk sekolah menengah, saya tetap hantar kerana hari ini merupakan hari pertama dia datang ke sekolah untuk berlajar secara bersemuka.

“Sebelum ini hanya belajar secara dalam talian di rumah, hari ini dia dapat jumpa rakan-rakan dan guru-guru. Saya harap semuanya baik-baik,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Mengulas mengenai pematuhan SOP di sekolah SMK Cheras, Azian berkata, beliau berpuas hati dengan segala persedian yang dilakukan oleh pihak sekolah.

“Saya tengok, guru-guru bertugas memastikan segala pematuhan SOP, pagi-pagi lagi saya tengok mereka sudah bersedia untuk memeriksa suhu badan pelajar yang hadir,” katanya.

Pelajar tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras mengaminkan doa sebelum masuk ke kelas pada hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Sementara itu, Norazim Shah Nordin berkata, aspek pematuhan SOP di SMK Cheras wajar dipuji kerana semuanya berjalan lancar.

“Hari ini saya hantar anak pertama saya ke tingkatan satu sekolah ini, walaupun sudah sekolah menengah tetap kena tengok macam mana keadaan pada hari pertama.

“Saya tengok dia (anak) bersemangat dan saya berharap semuanya berjalan lancar. Dia pun gembira dapat jumpa rakan-rakan sekelas,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here